Isnin, 8 April 2013

Pengenalan kerja ukur kejuruteraan


Sekadar Hiasan


Di bawah ini aku akan pecahkan kepada 2 bahagian praktikal kerja2 asas ukur bangunan ini kepada 2 iaitu kawalan vertical ( ketinggian aras ) dan kawalan horizontal ( jarak dan bearing ). 

KAWALAN VERTICAL

Untuk kerja kawalan 'vertical' macam biasa kita kena ada satu TBM ( batu aras sementara ) yang dah dibuktikan arasnya dari batu tanda aras Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( Benchmark / BM JUPEM ) atau TBM jurukur berlesen dan dibuat berdekatan dengan tapak bangunan tersebut. Sebaiknya TBM ini hendaklah diletakkan di tempat yg selamat dan dibuat dari paip besi serta disimenkan supaya dapat bertahan lama dan tak mudah rosak.

Untuk buktikan aras TBM itu adalah betul kita kenalah membuat kerja ‘leveling’ dengan menggunakan alat 'Dumpy level' dan setaf secara pergi dan balik ( satu loop / pusingan ). Jika terdapat 'misclose' maka hendaklah di buat pembetulan secara purata setiap 'change point' ( CP ) dan barulah kita dapat mengira nilai aras TBM kita tadi.

Contohnya setelah kita membuat leveling dari BM JUPEM atau TBM jurukur berlesen dan terdapat 'misclose' sebanyak +50mm bagi BM yang punyai aras 5.00m dan setelah pergi & balik dibaca 4.950m serta ada 10 'change point' bagi keseluruhan kerja leveling ini. Maka setiap CP tersebut secara purata perlu ditambah 5mm sebagai pembetulan. Jadi secara ringkasnya CP1 = +5mm, CP2 = +10mm, CP3 = +15mm, CP4 = +20mm seterusnya sampailah CP10 atau BM tadi = +50mm.

Bagi kerja ukur bangunan apa yang penting sekali adalah kita perlu tahu level lantai siap atau 'floor finish level' bangunan tersebut. Dan dari pelan profile 'pile cap' atau 'footing' pula kita perlu mengira aras ketinggian 'cut off pile' ( aras tinggi pemotongan batang cerucuk ), ketebalan 'pile cap' atau tebal 'footing' serta ketebalan 'ground beam'.

Tapak bangunan yangg perlu ditanam cerucuk / piling akan ada 'pile cap' di bahagian atas batang cerucuk yang telah dipotong pada aras yang telah ditetapkan. Biasanya cerucuk ini di tanam di bawah tiang column bangunan tersebut dan saiz serta ketebalan 'pile cap' adalah bergantung pada saiz tiang column bangunan itu. Lebih besar tiang maka lebih besar dan lebih tebal 'pile cap'nya. Bagi bagunan yang tak perlukan cerucuk maka barulah 'footing' digunakan kebiasaannya adalah di atas tapak tanah berbatu, bukit dan keras. Asasnya adalah sama seperti 'pile cap' tadi. Tiang ‘column' adalah tiang yang bermula dari 'pile cap' dan tiang 'stifner' pula adalah tiang sokongan dan hanya bermula dari 'ground beam' serta tidak bersambung dari bawah sampai atas bangunan. Biasanya tiang stifner ini berjarak 10 kaki setiap satu dan fungsinya adalah untuk membuat dinding, menjadi bucu bangunan yang banyak segi dan bentuk serta mengelakan dari batu bata dinding itu menjadi merekah dan tidak rata.

Selebihnya setelah siap ditanda aras 'pile cap' atau 'footing', aras 'ground beam', dan aras 'finish floor level' maka kerja kawalan aras seterusnya adalah ketinggian lantai setiap tingkat bangunan tersebut. Jadi jurukur kenalah menandakan pada kayu frame tiang column bangunan itu ketinggian aras lantai tingkat seterusnya sebelum kerja kerja pemasangan kayu frame untuk lantai atas sebelum kerja konkrit dijalankan. Setelah siap lantai di atas maka surveyor perlu membuat satu TBM lagi di lantai atas tersebut dan begitulah seterusnya. Perlu diketahui lantai bangunan adalah tidak rata dan terdapat perbezaan aras pada bahagian2 tertentu contohnya pada bahagian dapur atau bilik mandi.

Satu tip untuk kau orang semua dan mungkin kau orang tak tahu sebelum ini atau terfikir cara begini. Bagaimana caranya kita nak ukur ketinggian lantai atas tanpa perlu pindahkan alat ukur atau lantai atas itu masih tidak ada tangga untuk kita panjat naik ke atas?

Caranya adalah begini, seperti biasa kita perlu pasang alat dumpy level dan baca ketinggian ‘back sight’ TBM kita. Kemudian setaf tadi hendaklah diterbalikan atas ke bawah. Biasanya tanda tinggi 0.0m setaf ada di bawah tapi kali ini 0.0m itu kita terbalikan ke atas pula. Tanda 0.0m itu hendaklah kita letakkan secara tegak di bahagian bawah lantai atas tersebut dan dibaca aras larasnya. Kemudian kita ukur ketebalan lantai tersebut.

Contoh kiraan :

(A) Tinggi aras TBM     = 4.000m
(B) Bacaan back sight  = 1.500m
(C) Bacaan setaf terbalik bawah lantai pula = 2.500m
(D) Ketebalan lantai      = 0.325m

Formula : ( A + B + C + D ) = aras tinggi lantai atas

4.000m + 1.500m + 2.500m + 0.325m = 8.325m

*sila komen ‘TERIMA KASIH’ kat bawah kalau sebelum ni kau orang tak tahu cara ni…
 
Perbincangan di dalam kelas
 


KAWALAN HORIZONTAL

Bagi kerja ukur kawalan horizontal pula, jurukur perlulah membuat traverse / terabas dengan secara 1 loop / pusingan serta dibuat pembetulan jika terdapat misclose yang banyak. Seterusnya jurukur perlu membuat tanda base point baseline sekurang kurangnya pada 2 penjuru bangunan itu selari dengan bearing tepi bangunan dan di offset pada jarak yang tertentu ( lebih jauh lebih bagus ). 2 tanda baseline ini hendaklah disimenkan dan dipagar dan kukuh. Selepas itu dari base point tadi jurukur perlulah menanda 'grid line' seperti mana yang terdapat dalam pelan 'piling / footing layout'. Contohnya pada paksi X terdapat grid line bermula dari A, B, C, D dan E. Pada paksi Y pula terdapat grid line 1, 2, 3, 4 dan 5. Apa yg perlu jurukur tandakan adalah titik penjuru bangunan tersebut iaitu bagi titik silang grid line A1, A5, E1 dan E5. Dan tanda ini mestilah di anjak ( offset ) sekurang kurangnya 2 meter ( bergantung kepada luas kawasan kerja ) keluar dari titik sebenar grid line itu. Sebaiknya gunakanlah paip besi dan disimenkan serta dipagar supaya dapat bertahan lama dan tak mudah rosak.

Seterusnya pekerja pembinaan akan membuat pagar profile pada keliling grid line tersebut dan jurukur perlulah menanda grid line yang pertama dan terakhir pada pagar tersebut. Setelah ditanda jurukur perlu memastikan bahawa jarak antara grid line pertama ke grid line terakhir adalah seperti yang terdapat dalam pelan 'piling / footing layout' bangunan tersebut. Jika terdapat misclose yang besar jurukur perlulah menanda sekali lagi kerana ditakuti bangunan itu akan menjadi senget bucunya apabila siap nanti. Setelah siap maka pekerja binaan akan menanda pula dengan paku setiap grid line yang ada sepanjang bangunan itu di atas pagar profile tadi.

Tujuan dibuat tanda base point baseline yang bersimen dan kukuh adalah supaya jika tanda grid line tadi hilang atau rosak akibat kerja2 pembinaan maka jurukur boleh membuat tanda grid line yang baru dengan menggunakan baseline yang sama dari mula projek hinggalah siap projek bangunan tersebut. 

Kerja menanda titk batang piling boleh dilakukan secara menggunakan kiraan kordinat ataupun secara menarik benang antara 2 grid line tadi. Jika piling itu tidak ada offset maka titik silang antara 2 benang itulah tempatnya yang perlu di tanda. Jadi perlulah jurukur pastikan betul2 samada piling point tadi terletak di atas grid line atau pun tidak. Kebiasaannya piling point tersebut ada jarak offsetnya dari grid line dan tidak sama jarak offset antara satu piling dan piling yang lain. Jangan tergopoh mamasang tanda piling point sebaiknya jurukur perlulah mengambil sedikit masa dengan mengkaji ( plan study ) pelan layout piling itu dan faham betul2 semua keperluan dan hitungkan semua jarak gridline dan jarak offset dengan tepat sebelum menandanya di atas tapak.

Setelah kerja menanam piling selesai maka jurukur perlulah membuat ukuran 'as-built' piling tadi. Barulah kita dapat tahu samada batang piling itu masuk tepat pada titiknya atau pun tidak. Biasanya jarak yang dibenarkan adalah 75mm ( 3 inci ) tapi bergantung juga pada saiz piling, saiz pile cap serta jenis tanah di tapak bangunan tersebut.

Setelah lantai bawah dan tiang column siap maka jurukur perlulah membuat station kawalan ( control point ) pada lantai tadi dan juga di luar dinding bangunan tersebut dengan menggunakan 'iron spike', bolt atau paku simen. Untuk bangunan kecil empat segi 2 station di dalam bangunan di atas lantai dan 2 station di luar bangunan pada setiap bahagian bucu dinding bangunan itu sudah memadai. Setiap luar bucu bangunan perlulah di buat 2 point pada jarak 1 atau 2 kaki offset dari dinding dan bertujuan mengawal kecondongan bangunan itu. Contohnya jurukur telah menanda 2 point pada jarak offset 2 kaki dari dinding luar di bahagian lantai bawah dan bila kerja2 memasang frame kayu untuk lantai di atas, jurukur perlulah mengantung 'plumbob' ( bandul pemberat ) dengan tepat di atas point di bawah tadi dengan menggunakan kayu dan benang pada frame kayu lantai atas tersebut. Dan jurukur atau pekerja binaan perlulah memastikan bahawa jarak dinding lantai atas nanti adalah pada jarak 2 kaki sama seperti lantai di bawah. Setelah di tanda jarak 2 kaki barulah frame untuk lantai atas dipasang bahagian tepinya. 

Berbalik kepada 2 control point di atas lantai dalam bangunan pula bertujuan untuk menanda kedudukan tepat setiap tiang column di bahagian lantai itu dan juga untuk dipindahkan ke lantai atas pada kordinat yang sama. Cara asas praktikalnya adalah semasa frame lantai bahagian atas dipasang, jurukur perlu menandakan kordinat yang sama di bahagian bawah frame kayu lantai atas tersebut. Jika untuk bangunan yang rendah kurang dari 5 tingkat dan jurukur tiada alat ukur 'optical plummet' maka jurukur boleh menggunakan benang dan plumbob. Caranya, plumbob tadi digantung dari bahagian bawah frame kayu lantai atas tepat di atas kedua dua control point yang di atas lantai tadi. Setelah titik kordinat yang sama ditanda pada bahagian bawah frame kayu lantai atas tersebut maka hendaklah ditebuk lubang pada papan frame tersebut sekurang kurangnya seluas diameter 3 inci dan pekerja binaan hendaklah memasukkan paip PVC tembus ke bahagian atas lantai tingkat atas itu. Kemudian barulah lantai atas itu disimenkan dan pada bahagian titik control point tadi akan menjadi berlubang. 

Setelah simen konkrit lantai atas kering maka jurukur bolehlah memasang alat ukur di atas bahagian lantai yang berlubang tadi. Jurukur perlu memasang alat tepat di atas titik control point pada lantai bawah dan pastikan jarak kedua dua point di lantai atas itu adalah sama seperti jarak di lantai bawah. Selepas itu barulah lubang tadi ditutup dengan simen dan ditanda control point tadi dengan iron spike, bolt atau paku. Kemudian 2 control point yang baru dibuat di bahagian lantai atas tadi disemak kembali jaraknya samada tepat atau tidak sama seperti jarak point bahagian bawah sebelum simen itu kering. Jika jurukur menggunakan alat 'optical plummet', lubang tadi tidak perlu ditutup serta merta kerana alat 'optical plummet' ini dapat melihat dan menandakan dengan tepat sehingga ketinggian aras 150 meter. Apa yang perlu hanyalah memasang rangka dawai seperti sarang labah labah yang mempunyai point di bahagian tengah. 

Begitulah seterusnya dan jurukur hanya perlu ulangi kerja yang sama pada setiap lantai bahagian atas bagunan itu. Dan kerja2 seterusnya adalah memastikan bangunan tersebut tepat dari segi ukuran dinding ke dinding, tiang ke tiang dan tegak tidak condong tiang dan dindingnya.

Pengenalan Alat-alat


Total Station

Alat ini adalah untuk mengukur jarak dan juga bering. Alat ini biasa digunakan oleh semua serveyor di selurh pelusuk dunia.

Kompas Ukur

Alat ini adalah untuk mencari bering sesuatu tempat.

Levelling

Alat levelling merupakan alat untuk mengukur ketingian bangunan dan juga ketingian kontur.

Staf

Alat ini adalah untuk menentukan ketingian sesuatu bangunan dan juga kontur. Alat ini digunakan bersama dengan alat levelling.

Tripod

Tripod adalah alat untuk menempatkan alat-alat seperti total station,electronic distance measurement(EDM), dan banyak lagi alat-alat yang perlu diletakkan pada tripod ini.\


 
asas pada pemasangan total station
 

Gelagat Kami semua


Di tapak Kalibrasi
Kami di kelas DUT 1A, mempunyai gelagat kami tersendiri, kelas kami cuma mempunyai 18 orang pelajar dan satu-satunya kelas Diploma Ukur Tanah untuk Sem ini. Ini menjadikan kami lebih mesra sesama kami.

Hidup ibarat sebuah keluarga bahagia bersama, DUT 1A membina satu kata-kata semangat iaitu, Ukhwah berpanjangan, Ukur Tanah dihati. Dalam segala hal yang berkaitan pelajaran, kami tetap bersama berbincang, menyumbang ideas sesama kami. Selain itu, didalam kelas kami, peringkat umur juga agak ketara.

Paling tua dikalangan kami adalah "Kak Long" iaitu Nurul Munirah binti Alias, 24. Azman Kamaruddin [ketua kelas], 23, Faref Azwandi, 21, Mohd Faris, 21, Lee Mei Yei, 21, Mohd Ariefuddin, 21, Idris a.k.a Darrenee, 21, Zatun Najaahan, 20, Ahmad Naziruddin, 19, Amirol Alias, 19, Aizat Anuwar, 19, Abdul Hannan, 19, Nur Asyikin, 19, Nur Masita, 19, Norsazleen, 19, Masnorsyafiqah, 19, Mohd Hafiz, 19, Shahrul Hanizam, 19.

Kami hidup ibarat sebuah keluarga yang besar, adanya adik, abang, dan kakak. Inilah dia satu kelas yang memang tiada dalam kelas-kelas yang lain, Semoga 3 tahun kami berada di sini akan membuahkan hasil yang baik untuk Politeknik, dalam menyumbangkan keputusan yang baik untuk Politeknik serta menamatkan pelajaran dengan jaya.


Hidup PUO Hidup DUT 1A

Azman dan konco-konconya


How to Setting Out Building



Setting Out Building



KERJA2 PENGUKURAN SETTING OUT BANGUNAN

1.) Mulakan kerja pengukuran dengan membuat terabas kawalan horizontal dan menandakan bucu   bangunan di atas tanah bagi memberikan jurukur lebih informasi mengenai keadaan sebenar tapak bangunan tersebut dan lokasinya.

2.)  Buatkan juga satu TBM ( batu aras sementara ) berdekatan dengan tapak bangunan itu tetapi pastikan letaknya ditempat yang selamat dan senang untuk dibaca apabila kita perlu membuat kerja2 pelarasan kawalan ketinggian bangunan tersebut. Pastikan TBM itu di konkritkan supaya dapat bertahan lama dan kekal disitu. Tuliskan juga ketinggian aras laras pada TBM itu untuk memudahkan kerja ukur.

3.)   Dengan berpandukan pada pelan struktur samada pelan piling layout, footing layout atau pun ground beam layout jurukur perlu menanda baseline paksi X dan Y bangunan itu mengikut
gridline yang ada dalam pelan tersebut di atas tanah. Contohnya bangunan itu adalah bersegi 4 maka kita tandakan 4 peg penjuru bangunan yang telah di offsetkan sekurang kurangnya 2 meter ke belakang daripada gridline yang terakhir supaya peg tersebut dapat bertahan lama dan tidak diusik sewaktu kerja2 pembinaan dijalankan. Sebaiknya kita gunakan peg dari besi dan konkritkan tapaknya supaya tetap kekal disitu buat jangkamasa yang lama dan tandakan nombor gridline contohnya A/1, A/9, F/1 & F/9. Dan jangan lupa dibaca juga ketinggian aras peg tadi.

4.)   Pekerja pembinaan bagi membuat kerja2 tapak asas bangunan kebiasaannya akan membuat pagar kayu yang dipanggil ‘
profile board’ ( pagar profile ) disekeliling tapak bangunan itu dengan berpandukan baseline yang ditandakan oleh jurukur kecuali jika kerja2 menanam cerucuk/piling perlu dilakukan terlebih dahulu. Kebiasaannya tinggi pagar profile itu adalah di paras tinggi lantai siap ‘finish floor level’ ( FFL ) bangunan tersebut. Jadi jurukur perlu memberitahu pada pekerja tadi dengan menulis di peg tersebut berapa tinggi dari peg ke tinggi FFL. Setelah pagar profile itu siap dipasang adalah menjadi kerja jurukur untuk menandakan dengan tepat dengan menggunakan paku kedudukan gridline 4 penjuru A/1, A/9, F/1 & F/9 tadi ke atas pagar tersebut. Kemudian jurukur perlu memastikan juga yang jarak paku yang ditandakan itu adalah tepat mengikuti jarak yang dituliskan dalam pelan struktur. Dan jarak2 antara satu gridline ke satu gridline pula adalah ditanda sendiri oleh pekerja pembinaan tersebut.


Profile Board


 5.)   Jikalau ada kerja2 menanam cerucuk di tapak bangunan itu maka jurukur perlu menandakan lokasi ‘piling point’ di atas tanah mengikut gridlinenya dengan tepat berpandukan pada pelan piling layout. Setelah siap kerja menanam cerucuk dan dipotong baki batang piling tersebut pada paras ‘cut off’ yang dimahukan oleh ‘supervisor’ projek bangunan itu maka jurukur perlu pula membuat satu ukuran ‘as-built’ piling iaitu dengan merekodkan X,Y center line batang piling yg telah dipotong tadi. Ini adalah untuk memastikan batang2 piling itu berada tepat di tempatnya dan tidak lari ke arah lain terlalu jauh. Selepas itu barulah pagar profile boleh dipasang oleh pekerja pembinaan dan jurukur menanda kedudukan gridline seperti perkara (4) di atas.

6.)   Seterusnya kerja2 penandaan lokasi footing/pilecap pun dilakukan oleh pekerja pembinaan dengan cara menarik benang antara satu point gridline ke point yg lain. Kerja jurukur pula adalah memberikan paras kedalaman footing/pilecap yang perlu dikorek oleh pekerja tersebut ( pada kebanyakan projek bangunan, kerja ini dilakukan sendiri oleh supervisor ). Setiap perbezaan saiz footing/pilecap maka kedalamannya juga akan berbeza mengikut jadual footing/pilecap yang telah ditentukan oleh jurutera struktur.

7.)   Seterusnya apabila footing/pilecap tadi telah siap dibuat maka jurukur perlu menanda pula ketinggian ground beam ( kebiasaannya kerja ini dilakukan oleh supervisor projek ) dengan memastikan ketinggian pagar profile tadi adalah tepat. Perlu diketahui disini kegunaan pagar profile sebenarnya adalah untuk memudahkan kerja penandaan gridline setiap tiang2 column yang akan dibina. Tetapi dengan memastikan tinggi pagar profile itu berada di paras ketinggian ground beam maka pagar profile itu juga dapat digunakan sebagai penanda aras bagi memudahkan pekerja pembinaan menentukan ketinggian stump yang akan dibina. Stump adalah merupakan penyokong antara footing/pilecap dan ground beam.

 






 8.)   Seterusnya setelah siap ground beam maka jurukur perlu memastikan pula tiang2 column yang akan dibina itu berada tepat di gridlinenya dan tegak tidak condong.

9.)   Dan apabila tiang2 column telah siap dibina maka jurukur perlu pula menanda ketinggian untuk floor beam bagi tingkat yang seterusnya.


10.) Sekarang ini kerja2 jurukur dah menjadi bertambah mudah. Apa yang perlu dilakukan hanyalah memindah station control ke tingkat yang atas untuk kerja kawalan horizontal dan memindahkan juga TBM ke tingkat atas. Dan kerja ini perlu diulang lagi setiap siapnya tingkat atas yang baru. Pada waktu ini jurukur hanya perlu memastikan bucu bangunan dan tiang column tadi tidak condong dan ketinggian paras floor beam adalah mengikut pelan struktur dan arkitek.






NOTA KAKI :


Kerja2 pengukuran di atas adalah merupakan kerja2 asas sahaja dan bagi bangunan yang ketinggiannya tak melebihi 5 tingkat. Bagi bangunan yang lebih tinggi pula asasnya adalah sama melainkan alat yang digunakan sedikit berbeza. Untuk memindahkan station control ke tingkat yang lebih tinggi pula jurukur perlu menggunakan alat yang di panggil ‘optical plummet’ dengan cara membuat 3 atau 4 station control di atas lantai tapak bangunan secara ‘L’ atau pun ‘Y’ kemudian ditebuk lubang pada lantai tingkat atas sebesar 1 X 1 kaki. Alat ini berfungsi memastikan point control dibawah dan diatas adalah pada kedudukan paksi yang sama atau dalam ertikata lain sama kordinit X,Y nya dan jarak tertinggi yang boleh di capai adalah 150 meter. Ketegakan bucu bangunan pula dapat di kawal dengan menggantung plumbob yang seberat 5-10 kilogram di tingkat atas dan disetkan pointnya di bawah sekali iaitu di bahagian luar lantai tapak bangunan pada jarak yang tetap iaitu antara 1 atau 2 kaki dari dinding bangunan.

Awalan kerja kami

Pengukuran sedang dijalankan

Sebagai seorang pengukur atau dipanggil surveyor, kami bekerja dalam banyak aspek, seperti mengukur tanah, mengukur bukit [kontur] mengukur bangunan, mengukur alam [astronomi] dan mengukur dasar laut [hydrografi].

Kami di DUT 1A adalah asas kepada semua ukur, dan lebih tertumpu kepada pengukuran tanah iaitu Land Survey berbanding ukuran-ukuran lain.


Land Survey
Land Survey adalah satu bidang daripada Engineering Survey, dalam hal ini, Land Survey lebih banyak memainkan peranan penting untuk asas segala kerja ukur dan adalah asas kepada pembinaan sesuatu kawasan.

Boleh rujuk kepada topik ini Sejarah Pengukuran

Sejarah Pengukuran





SEJARAH BERMULANYA UKUR TANAH

Pada zaman dahulu kala ketika itu tak ada lagi teknologi dan kaedah moden untuk kerja ukur mengukur ni, alkisahnya di negeri Mesir kuno ada seorang petani dimana kebun tanamannya terletak di tepi Sungai Nil. Pada setiap kali turunnya hujan lebat maka air sungai itu akan melimpah dan terjadi banjir. Banjir yg sebegini adalah biasa dan bagus buat menyuburkan tanahnya secara semulajadi. Akan tetapi yang membuatkan petani ini merasa sedikit kecewa adalah kerana pada setiap kali selepas air sungai itu surut semula, dirasakannya tanahnya mengecil sedikit demi sedikit. Dari sinilah timbul idea bagaimana caranya dia nak memastikan yg tanahnya masih dalam keadaan asal. Jadi dia pun mencari 4 batang kayu lurus yg panjang lalu di pacak pada 4 penjuru tanahnya termasuklah 2 yg ada di tepi sungai. Sampai skrg pun kayu ini masih digunakan dalam proses ukur tanah dan dinamakan kayu pancang.

Pendek cerita selepas hujan lebat dan banjir yg seterusnya, didapatinya 2 pancang yg di tepi sungai tersebut masih lagi terpacak tetapi tempatnya tidak lagi di tepi sungai. Sekarang kayu pancang tersebut telah berada di dalam sungai pula kira-kira 2-3 langkah dari tepi sungai. Maka tahulah petani tersebut yg tanahnya telah mengecil kerana proses penghakisan tanah akibat banjir tadi. Jadi dia pun membuat benteng tinggi di tepi sungai tersebut dan dibuat parit supaya air sungai itu dapat masuk dan keluar tanpa menghakis tanahnya lagi. Nah dari sinilah ilmu dan teknologi ukur tanah mula berkembang sampailah ke hari ini.
 

ASAS KERJA UKUR TANAH

Asas kerja ukur tanah adalah terdiri dari 2 bahagian kawalan yg perlu dilakukan apabila membuat sesuatu kerja ukur iaitu kawalan horizontal iaitu kawalan dari segi penggunaan bearing, jarak dan koordinit X,Y yg tepat mengikut Pelan Akui ( PA ). Ini dilakukan supaya jurukur tidak tersilap lokasi lot tanah tersebut dan mengukur tanah org lain pula. Kawalan horizontal ini perlu dilakukan dengan mencari 3 batu sempadan yg masih berkeadaan baik mengikut PA dan mematuhi jarak serta sudut yg dibenarkan. Dengan mempunyai 3 batu sempadan yg terbukti berkeadaan baik bakal mewujudkan apa yg dinamakan sebagai datum permulaan kepada pengiraan bearing, jarak dan juga koordinit.

Satu lagi kawalan adalah kawalan vertical atau aras laras iaitu kawalan kepada ketepatan ketinggian tanah itu dari paras laut yang di asaskan daripada Batu Aras Sementara ( TBM ) atau Batu Aras Tetap / Bench Mark jabatan ukur kerajaan ( BM jupem ). Kalau bagi kawalan horizontal tadi jurukur perlu menggunakan 3 batu sempadan yg terbukti masih berkeadaan baik, asas kawalan vertical pula perlu menggunakan BM jupem yg juga terbukti masih berkeadaan baik. Untuk membuktikan yg BM jupem ini masih berkeadaan baik perlulah mencari sekurang kurangnya 2 biji dan di ukur dari satu ke satu yg berikutnya. Apabila terbukti baik barulah jurukur memindahkan aras kepada TBM yg dibuat sendiri di tempat yg selamat berdekatan tempat yg akan di ukur tadi. Biasanya BM jupem ini ada di sepanjang tepi jalan utama pada kadar jarak setiap 2 kilometer, bercat putih dan berbentuk 4 segi serta ada tombol tembaga di atasnya. Di atasnya juga tertulis no rujukan BM tersebut contohnya BM B0020 dan aras sebenar BM ini boleh di rujuk kepada pejabat jabatan ukur dan pemetaan negeri atau daerah.

Sebenarnya kerja2 ukur ni terbahagi kpd banyak cabang tetapi cukuplah sekadar aku ceritakan cabang yg asas dan terpenting saja di sini.

1.)    Ukur Kadastral
2.)    Ukur Strata
3.)    Ukur Topografi
4.)    Ukur Kejuruteraan
5.)    Ukur Hidrografi
 

PERALATAN KERJA UKUR TANAH

Kesemua bidang kerja ukur tanah yg aku tulis di atas kecuali ukur hidrografi adalah menggunakan peralatan yg sama. Peralatan asas yg selalu digunakan adalah teodolite, total station, dumping level, auto level ( “teropong ukur” bagi mereka yg tak tahu dan faham ), setaf ( pembaris gergasi ), tripod ( kaki tiga ), tribatch, prism, plumbob ( ladung besi ), ranging pole, tali dan benang, tape ukur, bubble, cat, paku, hammer, parang, kayu peg, buku, pen dan tak lupa yg terpenting adalah kalkulator program spt Casio FX 603P atau FX 601P.

Kalkulator ni adalah ibarat nyawa bagi seorang jurukur tanah kerana tanpa kalkulator ni amatlah susah untuk dibuat sebarang pengiraan. Bukan sekadar kalkulator biasa tetapi kalkulator dari jenis saintifik dan boleh diprogramkan. Harganya pula mahal nak mampus skrg ni kalau dulu pada tahun 1995 tak sampai RM300 tapi skrg ni dah menjadi lebih dari RM800 dah tu susah nak dapat pulak.


UKUR KADASTRAL

Kerja ukur kadastral adalah bahagian yg terpenting dan paling memerlukan ketepatan pengiraan serta kemahiran tinggi. Tak semua jurukur tanah boleh membuat kerja ini kerana ia amat rumit dan perlu mematuhi peraturan2 serta mengikut kaedah yg digariskan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia ( JUPEM ). Kerja ukur ini diletakkan sebagai berkelas satu kerana ketepatan ukuran dan cara mempraktikannya.

Tujuan kerja ukur kadastral ini adalah untuk mengukur atau menanda lokasi yg tepat setiap penjuru lot tanah atau istilah ukurnya batu sempadan lot tersebut. Kebiasaanya kerja2 ini dilakukan oleh jurukur jabatan ukur kerajaan dan jurukur berlesen atau pun jurukur yg di bawah seliannya.

Umumnya kerja2 yg sering dilakukan adalah menanda atau menanam batu sempadan yg baru, mengganti batu sempadan yg telah hilang, salah satu proses dalam membuat pecahan lot, salah satu proses dalam menyediakan Pelan Akui ( PA ) dan juga kerja2 yg berkenaan dalam proses mengeluarkan geran tanah kepada pemiliknya.


UKUR STRATA

Kerja ukur strata pula merupakan proses yg sama dengan ukur kadastral tadi cuma cara mempraktikannya sahaja yg berlainan. Dikatakan berlainan kerana ukur strata ini adalah untuk mengukur lot2 yg ada di dalam banggunan dan bukannya atas tanah. Ukur strata dipraktikan apabila memproses pengeluaran geran bagi premis2 seperti rumah, pejabat atau kedai yg berada didalam banggunan yg banyak tingkat seperi rumah pangsa, komplek2 banggunan komersial, apartmen, kondominium dan banggunan2 tinggi yg lainnya.

Seperti ukur kadastral, kerja ukur strata ini juga biasanya dilakukan oleh jurukur jabatan ukur kerajaan dan jurukur berlesen atau pun jurukur yg di bawah seliannya.


UKUR TOPOGRAFI

Kerja ukur topografi pula adalah merupakan kerja ukur yg paling asas dalam mana2 projek pembanggunan dan merupakan kerja ukur yg paling mudah di antara cabang2 kerja ukur. Apabila hendak membuat sesuatu projek seperti jalanraya, landasan keretapi, komplek komersial dan bangunan, perumahan atau apa projek sekalipun, keadaan bentuk mukabumi yg asal perlu dipetakan terlebih dahulu sebelum kerja perancangan dan reka bentuk dapat dibuat.

Dalam kerja ukur topografi setiap benda kekal yg ada di permukaan bumi akan di ukur dan dimasukkan ke dalam pelan yg dinamakan pelan topografi. Benda2 kekal ini adalah seperti ketinggian aras kawasan tersebut, jalan, lorong, parit, pagar, sungai, manhole, paip-paip air, gas atau pembentung, tiang-tiang letrik, lampu serta telefon, rumah serta bangunan dan kadangkala pokok2 yg besar juga akan diukur dan ditandakan di dalam pelan sekali dengan nama jenis pokok tersebut.

Kerja ukur topografi ini adalah merupakan proses memetakan bentuk mukabumi yg asal dan data2 yg diperolehi akan dilukis ke dlm pelan. Dan dari pelan inilah nanti baru kerja perancangan dan rekabentuk projek pembangunan dapat dilakukan dengan berpandukan kpd maklumat yg ada di dlm pelan topografi ini.

Kerja ukur topografi tidak memerlukan kemahiran tinggi dan semua jurukur tanah boleh membuatnya. Ukur topografi juga tidak termasuk dalam pengukuran berkelas satu.


UKUR KEJURUTERAAN

 Kerja ukur kejuruteraan pula adalah merupakan satu proses yg terbalik dari kerja ukur topografi tadi. Jika pada ukur topografi keadaan asal mukabumi dipetakan ke dalam pelan maka dalam ukur kejuruteraan pula maklumat yg terdapat dalam pelan rekabentuk atau construction plan akan diterjemahkan pula ke atas tanah. Segala butir seperti ketinggian dan lokasi sebenar projek akan di tandakan di atas tanah di tempatnya yg tepat seperti yg telah ditandakan di dalam pelan tersebut.

Kerja ukur kejuruteraan ini biasanya dilakukan pada projek2 untuk membuat jalanraya, jalan keretapi, jambatan, infrastruktur, bangunan dan rumah, paip air dan pembentungan, lapangan terbang, pelabuhan dan jetty serta semua projek2 pembangunan yg lain. Dalam kerja ukur ini, peralatan yg digunakan tetap sama dgn kerja ukur yg di atas tadi. Tetapi cara mempraktikannya sahaja yg berbeza. Contohnya dalam membuat satu projek bangunan, katakanlah ketinggian asal tapak tanah bangunan tersebut pada pelan topografi berada pada paras 10 meter dari aras laut. Tetapi mengikut pelan rekabentuk, ketinggian tapak yg diperlukan adalah 12 meter. Jadi jurukur mesti menanda aras baru tersebut dan membuat perhitungan akan kedudukan tepat kaki dan pengatas cerun slope yg berbeza 2 meter itu. Kemudiannya penjuru bangunan itu akan di tanda pula utk kerja2 menyediakan asas tapak bangunan. Apabila ketinggian baru tapak telah dicapai setelah kerja penambakan tanah selesai maka kerja berikutnya adalah menanda pula lokasi sebenar cerucuk / piling yg akan ditanam ke dalam tapak tersebut.

Kerja2 menanda ini atau dalam istilah ukur disebut sebagai setting-out survey perlu dilakukan dengan pengiraan yg teliti dan tepat. Ini adalah supaya bangunan yg bakal dibina itu tidak tersasar daripada apa yg telah ditandakan di dalam pelan rekabentuk. Kawalan dari segi horizontal dan vertical amat perlu dilakukan dari masa ke semasa supaya bangunan tadi tegak dan tidak condong. Jadi amatlah perlu bagi jurukur untuk memastikan datum yg digunakan adalah tepat dan betul dan dibuat TBM serta station baseline pada tempat yg selamat dan boleh bertahan lama.

Kerja ukur kejuruteraan boleh dilakukan oleh semua jurukur yg mempunyai kemahiran dan tak semestinya jurukur berlesen sahaja. Skil2 yg tepat dan betul adalah perlu dalam mempercepatkan proses penandaan. Walaupun kedengarannya seperti agak mudah tetapi sebenarnya kerja ukur kejuruteraan ini juga memerlukan proses pengiraan tepat sebagaimana kerja ukur kadastral. Andai tersilap dalam mengira dan menanda maka keseluruhan bangunan tadi akan menjadi salah bina dan bakal membawa kerugian kepada kontraktor yg membinanya. Seseorang jurukur itu perlu bertanggungjawap terhadap apa yg diukurnya dan tanggungjawap ini pula bukanlah mudah.


UKUR HIDROGRAFI

Ukur hidrografi ini sebenarnya adalah cabang kerja ukur tanah juga dan seperti kerja ukur topografi sifatnya. Tetapi yg membezakannya adalah kerana tanah yg diukur itu bukanlah yg berada di atas permukaan bumi seperti biasa. Ukur hidrografi dijalankan apabila hendak mengetahui keadaan topografi tanah yg berada di bawah permukaan air laut, tasik atau sungai dan untuk mengukur kedalaman airnya. Selain itu peralatan yg digunakan juga adalah berlainan sama sekali dan merupakan peralatan yg berteknologi tinggi seperti echo sounder , GPS serta software khas utk pemprosesan data dan menggunakan kapal atau pun bot.

Dalam kerja ukur ini asas2 ukur seperti kawalan horizontal X,Y dan kawalan vertical tetap diguna pakai. Kawalan horizontal adalah dikawal secara sistem Global Positioning System ( GPS ) iaitu berpandukan satelit dan kawalan vertical atau aras pula adalah dari TBM terdekat yg ada di tepi laut, tasik atau sungai tersebut dan juga aras air laut pada waktu kerja ukur itu di jalankan. Aras air laut pada waktu kerja dijalankan akan dirujuk pula pada almanak pasang surut air kawasan yg berkenaan.

Walaupun kerja ukur hidrografi adalah satu dari cabang ukur tanah tetapi bukan semua jurukur dapat melakukannya. Hanya mereka yg mempunyai kemahiran dan pengkhususan hidrografi sahaja yg dapat membuat kerja ukur ini.

Nota kaki :

Apa yg aku tuliskan di atas ini adalah merupakan secara ringkas sahaja dan berpandukan pada kemahiran dan pengalaman aku sendiri. Andai ada sebarang pertanyaan atau mahukan info yg lebih maka silalah rujuk kepada nota2 kuliah yg aku link di sini dalam menu “ilmu ilmu percuma” ataupun rujuklah kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia ( JUPEM )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...