![]() |
Sekadar Hiasan |
Di
bawah ini aku akan pecahkan kepada 2 bahagian praktikal kerja2 asas
ukur bangunan ini kepada 2 iaitu kawalan vertical ( ketinggian aras )
dan kawalan horizontal ( jarak dan bearing ).
KAWALAN VERTICAL
Untuk
kerja kawalan 'vertical' macam biasa kita kena ada satu TBM ( batu aras
sementara ) yang dah dibuktikan arasnya dari batu tanda aras Jabatan
Ukur & Pemetaan Malaysia ( Benchmark / BM JUPEM ) atau TBM jurukur
berlesen dan dibuat berdekatan dengan tapak bangunan tersebut. Sebaiknya
TBM ini hendaklah diletakkan di tempat yg selamat dan dibuat dari paip
besi serta disimenkan supaya dapat bertahan lama dan tak mudah rosak.
Untuk
buktikan aras TBM itu adalah betul kita kenalah membuat kerja
‘leveling’ dengan menggunakan alat 'Dumpy level' dan setaf secara pergi
dan balik ( satu loop / pusingan ). Jika terdapat 'misclose' maka
hendaklah di buat pembetulan secara purata setiap 'change point' ( CP )
dan barulah kita dapat mengira nilai aras TBM kita tadi.
Contohnya
setelah kita membuat leveling dari BM JUPEM atau TBM jurukur berlesen
dan terdapat 'misclose' sebanyak +50mm bagi BM yang punyai aras 5.00m
dan setelah pergi & balik dibaca 4.950m serta ada 10 'change point'
bagi keseluruhan kerja leveling ini. Maka setiap CP tersebut secara
purata perlu ditambah 5mm sebagai pembetulan. Jadi secara ringkasnya CP1
= +5mm, CP2 = +10mm, CP3 = +15mm, CP4 = +20mm seterusnya sampailah CP10
atau BM tadi = +50mm.
Bagi
kerja ukur bangunan apa yang penting sekali adalah kita perlu tahu
level lantai siap atau 'floor finish level' bangunan tersebut. Dan dari
pelan profile 'pile cap' atau 'footing' pula kita perlu mengira aras
ketinggian 'cut off pile' ( aras tinggi pemotongan batang cerucuk ),
ketebalan 'pile cap' atau tebal 'footing' serta ketebalan 'ground beam'.
Tapak
bangunan yangg perlu ditanam cerucuk / piling akan ada 'pile cap' di
bahagian atas batang cerucuk yang telah dipotong pada aras yang telah
ditetapkan. Biasanya cerucuk ini di tanam di bawah tiang column bangunan
tersebut dan saiz serta ketebalan 'pile cap' adalah bergantung pada
saiz tiang column bangunan itu. Lebih besar tiang maka lebih besar dan
lebih tebal 'pile cap'nya. Bagi bagunan yang tak perlukan cerucuk maka
barulah 'footing' digunakan kebiasaannya adalah di atas tapak tanah
berbatu, bukit dan keras. Asasnya adalah sama seperti 'pile cap' tadi.
Tiang ‘column' adalah tiang yang bermula dari 'pile cap' dan tiang
'stifner' pula adalah tiang sokongan dan hanya bermula dari 'ground
beam' serta tidak bersambung dari bawah sampai atas bangunan. Biasanya
tiang stifner ini berjarak 10 kaki setiap satu dan fungsinya adalah
untuk membuat dinding, menjadi bucu bangunan yang banyak segi dan bentuk
serta mengelakan dari batu bata dinding itu menjadi merekah dan tidak
rata.
Selebihnya
setelah siap ditanda aras 'pile cap' atau 'footing', aras 'ground
beam', dan aras 'finish floor level' maka kerja kawalan aras seterusnya
adalah ketinggian lantai setiap tingkat bangunan tersebut. Jadi jurukur
kenalah menandakan pada kayu frame tiang column bangunan itu ketinggian
aras lantai tingkat seterusnya sebelum kerja kerja pemasangan kayu frame
untuk lantai atas sebelum kerja konkrit dijalankan. Setelah siap lantai
di atas maka surveyor perlu membuat satu TBM lagi di lantai atas
tersebut dan begitulah seterusnya. Perlu diketahui lantai bangunan
adalah tidak rata dan terdapat perbezaan aras pada bahagian2 tertentu
contohnya pada bahagian dapur atau bilik mandi.
Satu
tip untuk kau orang semua dan mungkin kau orang tak tahu sebelum ini
atau terfikir cara begini. Bagaimana caranya kita nak ukur ketinggian
lantai atas tanpa perlu pindahkan alat ukur atau lantai atas itu masih
tidak ada tangga untuk kita panjat naik ke atas?
Caranya
adalah begini, seperti biasa kita perlu pasang alat dumpy level dan
baca ketinggian ‘back sight’ TBM kita. Kemudian setaf tadi hendaklah
diterbalikan atas ke bawah. Biasanya tanda tinggi 0.0m setaf ada di
bawah tapi kali ini 0.0m itu kita terbalikan ke atas pula. Tanda 0.0m
itu hendaklah kita letakkan secara tegak di bahagian bawah lantai atas
tersebut dan dibaca aras larasnya. Kemudian kita ukur ketebalan lantai
tersebut.
Contoh kiraan :
(A) Tinggi aras TBM = 4.000m
(B) Bacaan back sight = 1.500m
(C) Bacaan setaf terbalik bawah lantai pula = 2.500m
(D) Ketebalan lantai = 0.325m
Formula : ( A + B + C + D ) = aras tinggi lantai atas
4.000m + 1.500m + 2.500m + 0.325m = 8.325m
*sila komen ‘TERIMA KASIH’ kat bawah kalau sebelum ni kau orang tak tahu cara ni…
![]() |
Perbincangan di dalam kelas |
KAWALAN HORIZONTAL
Bagi
kerja ukur kawalan horizontal pula, jurukur perlulah membuat traverse /
terabas dengan secara 1 loop / pusingan serta dibuat pembetulan jika
terdapat misclose yang banyak. Seterusnya jurukur perlu membuat tanda
base point baseline sekurang kurangnya pada 2 penjuru bangunan itu
selari dengan bearing tepi bangunan dan di offset pada jarak yang
tertentu ( lebih jauh lebih bagus ). 2 tanda baseline ini hendaklah
disimenkan dan dipagar dan kukuh. Selepas itu dari base point tadi
jurukur perlulah menanda 'grid line' seperti mana yang terdapat dalam
pelan 'piling / footing layout'. Contohnya pada paksi X terdapat grid
line bermula dari A, B, C, D dan E. Pada paksi Y pula terdapat grid line
1, 2, 3, 4 dan 5. Apa yg perlu jurukur tandakan adalah titik penjuru
bangunan tersebut iaitu bagi titik silang grid line A1, A5, E1 dan E5.
Dan tanda ini mestilah di anjak ( offset ) sekurang kurangnya 2 meter (
bergantung kepada luas kawasan kerja ) keluar dari titik sebenar grid
line itu. Sebaiknya gunakanlah paip besi dan disimenkan serta dipagar
supaya dapat bertahan lama dan tak mudah rosak.
Seterusnya
pekerja pembinaan akan membuat pagar profile pada keliling grid line
tersebut dan jurukur perlulah menanda grid line yang pertama dan
terakhir pada pagar tersebut. Setelah ditanda jurukur perlu memastikan
bahawa jarak antara grid line pertama ke grid line terakhir adalah
seperti yang terdapat dalam pelan 'piling / footing layout' bangunan
tersebut. Jika terdapat misclose yang besar jurukur perlulah menanda
sekali lagi kerana ditakuti bangunan itu akan menjadi senget bucunya
apabila siap nanti. Setelah siap maka pekerja binaan akan menanda pula
dengan paku setiap grid line yang ada sepanjang bangunan itu di atas
pagar profile tadi.
Tujuan
dibuat tanda base point baseline yang bersimen dan kukuh adalah supaya
jika tanda grid line tadi hilang atau rosak akibat kerja2 pembinaan maka
jurukur boleh membuat tanda grid line yang baru dengan menggunakan
baseline yang sama dari mula projek hinggalah siap projek bangunan
tersebut.
Kerja
menanda titk batang piling boleh dilakukan secara menggunakan kiraan
kordinat ataupun secara menarik benang antara 2 grid line tadi. Jika
piling itu tidak ada offset maka titik silang antara 2 benang itulah
tempatnya yang perlu di tanda. Jadi perlulah jurukur pastikan betul2
samada piling point tadi terletak di atas grid line atau pun tidak.
Kebiasaannya piling point tersebut ada jarak offsetnya dari grid line
dan tidak sama jarak offset antara satu piling dan piling yang lain.
Jangan tergopoh mamasang tanda piling point sebaiknya jurukur perlulah
mengambil sedikit masa dengan mengkaji ( plan study ) pelan layout
piling itu dan faham betul2 semua keperluan dan hitungkan semua jarak
gridline dan jarak offset dengan tepat sebelum menandanya di atas tapak.
Setelah
kerja menanam piling selesai maka jurukur perlulah membuat ukuran
'as-built' piling tadi. Barulah kita dapat tahu samada batang piling itu
masuk tepat pada titiknya atau pun tidak. Biasanya jarak yang
dibenarkan adalah 75mm ( 3 inci ) tapi bergantung juga pada saiz piling,
saiz pile cap serta jenis tanah di tapak bangunan tersebut.
Setelah
lantai bawah dan tiang column siap maka jurukur perlulah membuat
station kawalan ( control point ) pada lantai tadi dan juga di luar
dinding bangunan tersebut dengan menggunakan 'iron spike', bolt atau
paku simen. Untuk bangunan kecil empat segi 2 station di dalam bangunan
di atas lantai dan 2 station di luar bangunan pada setiap bahagian bucu
dinding bangunan itu sudah memadai. Setiap luar bucu bangunan perlulah
di buat 2 point pada jarak 1 atau 2 kaki offset dari dinding dan
bertujuan mengawal kecondongan bangunan itu. Contohnya jurukur telah
menanda 2 point pada jarak offset 2 kaki dari dinding luar di bahagian
lantai bawah dan bila kerja2 memasang frame kayu untuk lantai di atas,
jurukur perlulah mengantung 'plumbob' ( bandul pemberat ) dengan tepat
di atas point di bawah tadi dengan menggunakan kayu dan benang pada
frame kayu lantai atas tersebut. Dan jurukur atau pekerja binaan
perlulah memastikan bahawa jarak dinding lantai atas nanti adalah pada
jarak 2 kaki sama seperti lantai di bawah. Setelah di tanda jarak 2 kaki
barulah frame untuk lantai atas dipasang bahagian tepinya.
Berbalik
kepada 2 control point di atas lantai dalam bangunan pula bertujuan
untuk menanda kedudukan tepat setiap tiang column di bahagian lantai itu
dan juga untuk dipindahkan ke lantai atas pada kordinat yang sama. Cara
asas praktikalnya adalah semasa frame lantai bahagian atas dipasang,
jurukur perlu menandakan kordinat yang sama di bahagian bawah frame kayu
lantai atas tersebut. Jika untuk bangunan yang rendah kurang dari 5
tingkat dan jurukur tiada alat ukur 'optical plummet' maka jurukur boleh
menggunakan benang dan plumbob. Caranya, plumbob tadi digantung dari
bahagian bawah frame kayu lantai atas tepat di atas kedua dua control
point yang di atas lantai tadi. Setelah titik kordinat yang sama ditanda
pada bahagian bawah frame kayu lantai atas tersebut maka hendaklah
ditebuk lubang pada papan frame tersebut sekurang kurangnya seluas
diameter 3 inci dan pekerja binaan hendaklah memasukkan paip PVC tembus
ke bahagian atas lantai tingkat atas itu. Kemudian barulah lantai atas
itu disimenkan dan pada bahagian titik control point tadi akan menjadi
berlubang.
Setelah
simen konkrit lantai atas kering maka jurukur bolehlah memasang alat
ukur di atas bahagian lantai yang berlubang tadi. Jurukur perlu memasang
alat tepat di atas titik control point pada lantai bawah dan pastikan
jarak kedua dua point di lantai atas itu adalah sama seperti jarak di
lantai bawah. Selepas itu barulah lubang tadi ditutup dengan simen dan
ditanda control point tadi dengan iron spike, bolt atau paku. Kemudian 2
control point yang baru dibuat di bahagian lantai atas tadi disemak
kembali jaraknya samada tepat atau tidak sama seperti jarak point
bahagian bawah sebelum simen itu kering. Jika jurukur menggunakan alat
'optical plummet', lubang tadi tidak perlu ditutup serta merta kerana
alat 'optical plummet' ini dapat melihat dan menandakan dengan tepat
sehingga ketinggian aras 150 meter. Apa yang perlu hanyalah memasang
rangka dawai seperti sarang labah labah yang mempunyai point di bahagian
tengah.
Begitulah
seterusnya dan jurukur hanya perlu ulangi kerja yang sama pada setiap
lantai bahagian atas bagunan itu. Dan kerja2 seterusnya adalah
memastikan bangunan tersebut tepat dari segi ukuran dinding ke dinding,
tiang ke tiang dan tegak tidak condong tiang dan dindingnya.
Tak baik tau ka ciplak entri org pastu buat mcm entri sendiri tanpa kebenaran.....
BalasPadam